MUKA DEPAN

Picture
BERSEMANGAT… Jabatan Perpustakaan USIM turut serta dalam perarakan sambutan Maulidur Rasul dengan membawa sepanduknya yang bermula dari Pavilion ke Stadium Tertutup Nilai.

Rasulullah pengikat ukhwah, penyatu ummah


NILAI – Majlis Sambutan Perarakan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah diadakan pada 5 Mac 2010 yang lalu dengan bertemakan “Memantap Ukhwah, Memperkasa Ummah”. Majlis ini bermula seawal jam 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 11.30 pagi.

Objektif utama sambutan ini diadakan ialah untuk memperingati kembali kelahiran junjungan besar Nabi       Muhammad S.A.W. Majlis dimulakan dengan perarakan kontinjen-kontinjen yang bermula dari Pavillion dan berakhir di Stadium Tertutup Nilai dan   sebanyak 18 kontinjen telah mengambil bahagian dalam perarakan ini.   Alunan selawat memuji Nabi turut dialunkan sepanjang perarakan ini yang telah diketuai oleh majlis tertinggi universiti.

Acara sambutan Maulidur Rasul ini diteruskan lagi dengan bacaan doa dan alunan ayat-ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Saudara Mohd. Safri dan seterusnya tayangan khas sempena Maulidur Rasul selama kira-kira 10 minit.

Dalam ucapan amanat yang telah disampaikan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda, beliau mengatakan mengenai perubahan dan pembaharuan yang telah dilakukan oleh Rasulullah sepanjang hayat baginda dan pembaharuan dalam pemikiran menjadi prasyarat penting kepada ummah pada masa kini.

“Usaha untuk merapatkan perpaduan di antara umat Islam dan bukan Islam harus dijadikan keutamaan untuk pembangunan ummah. Ukhwah bukan hanya terhad kepada pergaulan sahaja tetapi perlu seiring dengan amalan nasihat-menasihati dan tegur-menegur di antara satu sama lain”.

Menurut En. Marhaban Marliorjo, Pengawal Keselamatan USIM, beliau mengharapkan majlis sambutan seumpama ini akan diadakan lagi di masa akan datang.
 
“Saya mengharapkan majlis seumpama ini harus diadakan secara berterusan dari masa ke semasa untuk mengeratkan lagi ukhwah di antara pelajar, staff dan pihat tertinggi universiti sendiri,” katanya sewaktu diwawancara.

Satu slot ceramah maulidur Rasul turut diadakan pada hari tersebut dan ceramah telah disampaikan oleh En.Zulkifli Ghani, pensyarah FKP dan majlis telah diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi kategori perarakan.

Menurut Siti Syazana Adnan, FEM, tahun 2, beliau berharap agar pihak universiti dapat memberi publisiti yang lebih meluas lagi mengenai majlis ini agar majlis ini lebih meriah lagi di masa akan datang. Hal ini kerana, kebanyakan pelajar tidak mengetahui majlis yang diadakan ini.

“Pihak atasan sewajarnya mewajibkan kepada setiap pelajar menyertai perarakan ini agar dapat bersama-sama merasai dan menghayati semangat perjuangan Rasulullah S.A.W,” katanya sewaktu ditemuramah wartawan USIM Today.







Integriti pemangkin kejayaan pelajar

Picture
NILAI Disiplin menjadi amalan dan budaya kepada pelajar. Begitulah antara matlamat utama program tahunan Minggu Integriti Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  ini dijalankan. Program ini adalah program tahunan USIM bagi menjadikan integriti dan disiplin menjadi amalan serta budaya kepada pelajar dan ia melibatkan semua jabatan, bahagian dan unit fakulti Universiti Sains Islam Malaysia.
 
Konsep minggu integriti ini menekankan etika ketika berpakaian dan kekemasan diri yang menjadi lambang kepada sahsiah sesebuah universiti yang cemerlang. Minggu integriti ini bermula dari 26 Febuari 2010 sehingga 12 Mac 2010.

Minggu integriti ini dapat menanamkan kesedaran di kalangan pelajar dalam mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak universiti.

Menurut Penolong Pendaftar HEP, Mohd Hazrul Fareeza, kejayaan program tahunan minggu integriti pelajar yang telah dijalankan sebanyak empat kali ini banyak memberi kesedaran dan perubahan pada diri pelajar tentang pentingnya disiplin. Tetapi, masih ada di kalangan pelajar yang masih ingkar dalam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Mereka hanya mematuhi peraturan ketika minggu integriti sahaja.
 
“Program-program seperti ini haruslah dijalankan dengan lebih kerap lagi supaya ianya dapat memberi kesedaran dalam membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang cemerlang.”

Menurut Ketua Pengawai Keselamatan USIM, Kapten Abdul Wahab Mat Zain, beliau menegaskan bahawa minggu integriti ini dijalankan bertujuan untuk menerapkan sikap disiplin, perlakuan moral yang baik serta penghayatan nilai-nilai murni yang patut ada dalam kalangan mahasiswa.

Pihak keselamatan sendiri telah melakukan penguatkuasaan yang tegas terhadap pelajar. Diantaranya ialah mengenakan denda terhadap pelajar yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti pematuhan etika pemakaian dan penguatkuasaan kenderaan pelajar.

“Pelajar-pelajar yang gagal melunaskan denda yang telah dikenakan akan menghadapi masalah ketika hendak menamatkan pengajian nanti,” katanya sewaktu diwawancara.

Majlis Perasmian Penutup Minggu Integriti ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda pada 12 Mac 2010 yang lalu bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3.