Forum 1 Malaysia memerangi dadah dapat sambutan

Picture
SIMBOLIK PERASMIAN… Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri, Datuk Ahmad Fuad Bin Ab. Aziz merasmikan majlis ini.


NILAI – Bertemakan “1 MALAYSIA MEMERANGI DADAH”, buat kali ke tiga SPADA (USIM) dan Fakulti     Pengurusan dan Kepimpinan (FKP) serta SPADA Universiti Malaysia Sabah (UMS) menganjurkan  PREVENT’10 iaitu Forum Kebangsaan Pencegahan Penyalahgunaan Dadah 2010  sempena Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan pada 18 hingga 20 Februari  2010 di Dewan Kuliah Pusat 3 di sini.


Program tahunan yang turut dibantu Kementerian Pengajian Tinggi dan Agensi Antidadah Kebangsaan ini telah berjaya menghimpunkan pimpinan-pimpinan mahasiswa IPTA dan IPTS dari seluruh  semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak yang mewakili badan-badan utama di kampus masing-masing. Komitmen yang ditunjukkan oleh para peserta  melalui kehadiran yang  memberangsangkan serta penglibatan yang begitu aktif dalam setiap slot yang di anjurkan menunjukkan bahawa mahasiswa masa kini tidaklah lesu seperti yang disangkakan oleh sesetengah pihak.

Merujuk kepada ucaptama dan perasmian oleh Timbalan Ketua Setiausaha Keselamatan, Kementerian Dalam Negeri, Ybhg. Datuk Ahmad Fuad Bin Ab. Aziz dalam ucapannya, beliau menyeru mahasiswa di setiap universiti sama-sama menggembleng tenaga dalam membanteras najis dadah serta mengingatkan mahasiswa akan kesannya pada keamanan, kesejahteraan dan keselamatan sosio politik serta ekonomi negara. 

“Pada hemah saya, tema pada kali ini sangat mustahak bagi meningkatkan kesedaran setiap individu tentang betapa dahsyatnya bahaya dadah sama ada jenis candu, heroin, morfin  dan ganja ataupun dadah jenis sintetik seperti  syabu dan ecstacy.

Oleh itu, saya menyeru kepada semua golongan belia khususnya mahasiswa yang ada di dalam dewan yang mulia ini, bahawa fungsi dan peranan anda dalam membendung masalah permintaan dan penawaran terhadap dadah ini dapat dibanteras dengan menjadikan diri anda sebagai generasi modal insan yang mempunyai jati diri dan peribadi yang tinggi sesuai dengan pepatah Melayu “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara,” seru beliau.       

Antara slot yang terdapat di dalam PREVENT ’10 ialah sesi Sepetang Bersama Ketua Pengarah AADK, Dato’ Abd Bakir Bin Hj. Zin, majlis makan malam sempena perasmian dan persembahan penutup Sayembara Puisi 1 Malaysia.