Integriti pemangkin kejayaan pelajar

Picture
NILAI Disiplin menjadi amalan dan budaya kepada pelajar. Begitulah antara matlamat utama program tahunan Minggu Integriti Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)  ini dijalankan. Program ini adalah program tahunan USIM bagi menjadikan integriti dan disiplin menjadi amalan serta budaya kepada pelajar dan ia melibatkan semua jabatan, bahagian dan unit fakulti Universiti Sains Islam Malaysia.
 
Konsep minggu integriti ini menekankan etika ketika berpakaian dan kekemasan diri yang menjadi lambang kepada sahsiah sesebuah universiti yang cemerlang. Minggu integriti ini bermula dari 26 Febuari 2010 sehingga 12 Mac 2010.

Minggu integriti ini dapat menanamkan kesedaran di kalangan pelajar dalam mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak universiti.

Menurut Penolong Pendaftar HEP, Mohd Hazrul Fareeza, kejayaan program tahunan minggu integriti pelajar yang telah dijalankan sebanyak empat kali ini banyak memberi kesedaran dan perubahan pada diri pelajar tentang pentingnya disiplin. Tetapi, masih ada di kalangan pelajar yang masih ingkar dalam mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Mereka hanya mematuhi peraturan ketika minggu integriti sahaja.
 
“Program-program seperti ini haruslah dijalankan dengan lebih kerap lagi supaya ianya dapat memberi kesedaran dalam membentuk peribadi dan sahsiah pelajar yang cemerlang.”

Menurut Ketua Pengawai Keselamatan USIM, Kapten Abdul Wahab Mat Zain, beliau menegaskan bahawa minggu integriti ini dijalankan bertujuan untuk menerapkan sikap disiplin, perlakuan moral yang baik serta penghayatan nilai-nilai murni yang patut ada dalam kalangan mahasiswa.

Pihak keselamatan sendiri telah melakukan penguatkuasaan yang tegas terhadap pelajar. Diantaranya ialah mengenakan denda terhadap pelajar yang gagal mematuhi peraturan yang telah ditetapkan seperti pematuhan etika pemakaian dan penguatkuasaan kenderaan pelajar.

“Pelajar-pelajar yang gagal melunaskan denda yang telah dikenakan akan menghadapi masalah ketika hendak menamatkan pengajian nanti,” katanya sewaktu diwawancara.

Majlis Perasmian Penutup Minggu Integriti ini telah disempurnakan oleh Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda pada 12 Mac 2010 yang lalu bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3.