MAULIDUR RASUL: Dari Kacamata Wahabi dan Ahli Sunnah wal-Jamaah

Picture
Rabiulawal mengingatkan kita pada ulangtahun kelahiran Nabi Muhammad S.A.W iaitu rasul terakhir kita. Sambutan memperingati Maulid (kelahiran) Nabi Muhammad S.A.W. bukanlah suatu perkara yang asing di dalam masyarakat kita. Tanggal 12 Rabiulawal tahun gajah, tahun umat Islam bagi memenuhi ruang masjid atau kawasan-kawasan terpilih untuk menyambut Maulidur Rasul dengan pelbagai acara seperti membaca al-Quran, berceramah mengenai sirah baginda S.A.W. atau berselawat serta berzanji dan pelbagai acara lagi dan pada akhirnya kadang-kala diadakan sedikit jamuan. Mimbar-mimbar Jumaat juga tidak terlepas dari berkhutbah dengan penuh bersemangat untuk menyatakan cintanya umat ini terhadap baginda S.A.W.

Namun ada umat Islam yang cenderung kepada pegangan Wahabi berpendapat bahawa maulidur rasul tidak patut disambut oleh umat Islam dengan hujahnya bahawa nabi tidak menyambutnya. Maka maulidur rasul dianggap sebagai bid’ah. Golongan ini berhujah dengan dalil; dari Jabir Bin Abdullah Rasulullah S.A.W bersabda: sesungguhnya perkataan yang benar itu ialah kitab Allah dan sesungguhnya semulia-mulia petunjuk itu adalah petunjuk Muhammad dan seburuk-buruk perkara ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan itu adalah bid’ah dan setiap bid’ah itu sesat dan setiap kesesatan itu adalah di dalam neraka. Bagaimanapun para ulama besar seperti Ibnu Hajar, al-Suyuti, al-Nawawi, al-Syaukani dan ulama-ulama salafi yang lain di mana di dalam karya-karya mereka menegaskan dokongan terhadap perlunya sambutan Maulidur Rasul. Imam ibnu Hajar al-asqolani dalam kitabnya Fathul Bari menyatakan bahawa harus dianjurkan hari-hari kebesaran Islam seperti maulidur rasul, hari as-syura dan maal hijrah berdasarkan kitab sohih muslim, daripada Abi Qotadah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w ditanya tentang puasa hari isnin, baginda menjawab, “itulah hari aku dilahirkan dan hari aku diutuskan (menjadi nabi) atau hari diturunkan wahyu kepadaku. Imam Jalaluddin Al-Sayuti di dalam kitabnya Husnul Maqsad Fi Amal Maulid, ketika beliau ditanya tentang hukum perayaan Maulid pada bulan Rabiulawal: Apakah orang yang merayakannya mendapat pahala? Beliau menjawab: Perayaan Maulid pada hakikatnya ialah mengumpulkan kebanyakkan orang untuk membaca beberapa ayat al-Quran. Kemudian menjelaskan jalan-jalan dakwah sejak mula diutuskannya Rasulullah.

Acara itu diisi dengan menghidangkan makanan sebelum para hadirin kembali ke tempat masing-masing. Dengan tidak berlebihan saya katakan bahawa perayaan semacam itu tergolong dalam bid’ah hasanah yang bila dilakukan akan mendapat pahala. Mereka telah mengagungkan kedudukan Nabi S.A.W. dan menyatakan kesyukuran mereka di atas kelahiran Nabi Muhammad S.A.W. sebagai penghulu umat.Berkata Syeikh Islam Ibnu Taimiyah pula di dalam kitab Iqtidha as-Shirath al-Mustaqin; memuliakan Maulid dan merayakannya setiap tahun seperti yang dilakukan oleh sesetengah orang akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah Taala kerana niatnya baik dan memuliakan Rasulullah S.A.W. Para sahabat hidup bersama Rasulullah dan mengamalkan sunnah rasul dalam setiap aspek kehidupan mereka. Namun, lama-kelamaan umat Islam yang hidup selepas beratus tahun selepas kewafatan nabi sedikit demi sedikit telah mula melupakan sunnah nabi. Oleh itu para ulama menganjurkan untuk mengadakan hari memperingati peristiwa-peristiwa penting dalam sejarah Islam bagi menyemarakkan semula semangat Islam itu sendiri dan bersempena memperingati sirah nabi junjungan mulia disamping memberi pengajaran kepada umat islam.

 

Pelbagai kenyataan dan kajian telah dinyatakan (berlaku sedikit khilaf) mengenai tarikh sebenar dan siapakah yang mula-mula mengadakan sambutan Maulidur Rasul ini. Diantaranya dikatakan bahawa bermula sambutan Maulidur Rasul ini secara besar-besaran pada zaman Fatimiyah di Mesir di bawah penguasa Muiz Lidinillah (memerintah sekitar tahun 341 H hingga 365 H).  Dan pendapat lain ada menyatakan bahawa Sultan Atabeq Nuruddin (meninggal pada 569 H) adalah penguasa yang pertama merayakan Maulidur Rasul.

  "Bukanlah Wahabi sahaja yang tidak mengharuskan sambutan maulidur rasul ini namun hal ini telah dibahaskan oleh para ulama sejak dulu lagi,” Ustaz Yunus Abd

  Sebahagian ahli sejarah pula menyatakan bahawa Sultan Salahuddin Al-Ayubi adalah tokoh yang pertama merayakan Maulidur Rasul ini (namun pendapat ini disangsikan oleh pelbagai pihak). Pendapat lain lagi mengaitkan Abu Said Kaukabri bin Zainuddin Aly bin Baktikin sebagai orang pertama merayakan Maulidur Rasul ini.

Di Iraq Utara, semangat merayakan Maulid tidak kurang semaraknya. Di negara 1001 malam ini Maulid dilaksanakan secara besar-besaran sejak tahun 1200-an. Bahkan mungkin sebelum itu pun sudah dilakukan dalam suasana yang lebih sederhana. Dikatakan sambutan ini paling meriah di Kota Karbala. Di kota ini persiapan Maulid dimulakan sejak bulan pertama Hijriah. Khemah-khemah dan pondok-pondok kayu didirikan dan haiwan ternakan dikorbankan untuk jamuan para tetamu. Lebih daripada itu, diadakan juga ceramah, bacaan doa dan pelbagai kegiatan kesenian yang berunsur Islam diadakan.

Republik Islam Iran, perayaan maulid ini dirayakan dengan lebih meriah. Seringkali juga negara Akhund (ulama) itu mengadakan pelbagai seminar dan ceramah berkaitan kehidupan baginda S.A.W. Acara Maulidur Rasul disambut selama seminggu mulai 12 Rabiulawal sehingga 17 Rabiulawal. Seluruh bandar dihiasi lampu dengan warna yang indah.

Pada hari-hari itu masyarakat Iran mempunyai tradisi yang unik, iaitu membahagi kuih-muih atau kurma kepada para pejalan kaki yang kebetulan lalu di depan rumah atau kedai mereka. “Pada hakikatnya bukanlah Wahabi sahaja yang tidak mengharuskan sambutan maulidur rasul ini namun hal ini telah dibahaskan oleh para ulama sejak dulu lagi,” menurut beliau sebelum mengakhiri sesi temubual bersama wartawan USIM Today.