Naib Canselor dekati mahasiswa USIM

Picture
PRIHATIN… sikap prihatin Dato’ Dr. Muhamad Muda bakal membawa perubahan positif kepada USIM.


Nilai – “Pemimpin yang baik adalah pendengar yang baik”. Justeru, bagi menjayakan hasrat memacu Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ke arah yang lebih cemerlang, Naib Canselor USIM, Y. Bhg. Profesor Dato’ Dr. Muhamad Mudatelah mengambil inisiatif bijak dengan mengadakan Hari Naib Canselor Bertemu Mahasiswa yang telah berlangsung pada 24 Februari lalu.


Majlis ini telah dijalankan di bilik rehat VIP, Dataran Selera. Sesi pertemuan yang bermula dari jam 2 hingga 4 petang telah mendapat reaksi yang menggalakan daripada seluruh pelajar USIM. Para pelajar berpeluang untuk berkongsi sebarang masalah, pendapat, cadangan atau persoalan secara bersemuka.

“Pertemuan bersama mahasisiwa USIM ini diadakan untuk mewujudkan perhubungan yang rapat dengan para pelajar. Ini kerana komunikasi yang berkesan adalah cara yang dapat digunakan untuk menangani isu-isu yang berbangkit dan mendapatkan sebarang pendapat mahupun cadangan,” kata Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda ketika ditemubual oleh wartawan USIM Today.

Menurut beliau lagi, program seperti ini dijangka akan diadakan pada masa akan datang secara berkala. Malah beliau juga akan bersama-sama turun padang untuk melihat sendiri keadaan pelajar semasa berada di kampus mahupun di asrama bagi menyelami keperluan-keperluan pelajar.

Antara masalah pelajar yang diajukan kepada Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda ketika sesi pertemuan bersama mahasiswa ialah berkaitan dengan kebajikan pelajar, akademik, dan kemudahan serta prasarana universiti.

Ramai pelajar datang  menyuarakan masalah dan pendapat secara bersemuka dengan Naib Canselor bagi mendapat penjelasan dan jalan penyelesaian. Mereka berpeluang untuk bercakap sendiri secara langsung dengan Dato’ Muhamad Muda.

“Program Hari Naib Canselor Bertemu Mahasiswa ini adalah satu inisiatif yang sangat bagus. Saya juga berharap agar pihak pengurusan USIM dapat mengambil tindakan terhadap masalah-masalah yang telah disuarakan oleh para pelajar,” kata salah seorang pelajar Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), Siti Afiqah Zainuddin, 23.

Siti Afiqah turut mengatakan bahawa program seperti ini membuktikan kepemimpinan Dato’ Dr. Muhamad Muda.  Beliau sangat  menitikberatkan  komunikasi dua hala antara pentadbir dan pelajar.

Selain itu,  Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda juga menyatakan bahawa beliau akan mencari jalan penyelesaian bagi masalah-masalah yang berlaku. Beliau turut gembira kerana dapat berjumpa dengan mahasiswa bagi mewujudkan saluran komunikasi yang berkesan.