Mahasiswa USIM tidak amalkan gaya hidup sihat



Picture
Kebanyakan mahasiswa USIM tidak mengamalkan gaya hidup yang sihat. Status sebagai seorang pelajar bukanlah  penghalang untuk bersukan, sebaliknya mereka perlu mengamalkan gaya hidup sihat setiap hari. Hal ini kerana otak yang cerdas datang dari badan yang sihat.

Khalijah, 22, FPQS, berkata beliau berpendapat bahawa hanya 10 peratus pelajar sahaja yang mengamalkan gaya hidup sihat ini kerana kebanyakannya sibuk dengan pembelajaran sehingga tiada masa diperuntukkan untuk bersukan serta kemudahan yang disediakan jauh dari kolej kediaman pelajar.

Pendapat ini dikongsi bersama Razlan yang merupakan pengerusi urusetia sukan dan rekreasi pelajar USIM 2009, beliau memberi cadangan bahawa setiap pelajar perlu menanamkan semangat dan perasaan minat untuk menjadikan sukan sebagai rutin harian yang penting kerana banyak kemudahan yang telah disediakan untuk para pelajar bersukan.

Penubuhan kompleks sukan dan stadium Pavillion seolah-olah tiada fungsinya kepada mahasiswa/i USIM. Kebanyakan dari mereka lebih berminat untuk pulang ke kolej kediaman setelah selesai pengkuliahan.

Mohd Siddiqi, pelajar Tahun 5, FSU yang merupakan salah seorang pelajar yang kerap melakukan aktiviti sukan di stadium Pavillion dan kompleks sukan berkata “Tidak sampai satu peratus pelajar yang menggunakan stadium Pavillion ini dan selalunya di kompleks sukan pelajar sekadar memenuhi satu gelanggang sahaja,” ujarnya.

Faktor kolej kediaman yang jauh dari pusat kemudahan sukan pula tidak wajar dijadikan penyebab utama untuk tidak bersukan. Ini kerana USIM telah menyediakan tempat yang sesuai untuk bersukan mahupun riadah, sebagai contoh di Kolej Kediaman Nilam Court,(KKNC) telah lama wujudnya sebuah gimnasium di blok F yang disediakan untuk kegunaan pelajar. Gimnasium tersebut adalah di bawah pengawasan Biro Sukan dan Rekreasi dan juga pengawal keselamatan. Namun ramaikah pengunjung di gimnasium tersebut? Atau para pelajar sendiri tidak tahu mengenainya? Mustahil pelajar tidak tahu mengenainya.

Menurut Penolong Pengurusan Asrama, En. Shahidul Hakim Saman, gimnasium tersebut dikunjungi ramai pelajar apabila tamat peperiksaan. Kegunaan gimnasium tidak tertumpu kepada peralatan indoor sahaja, malah pelajar boleh meminjam peralatan sukan outdoor yang disediakan seperti raket, bola tampar, bola jaring dan sebagainya dengan membuat rekod peminjaman terlebih dahulu.

“Tidak dinafikan juga gimnasium kurang pengunjung disebabkan jadual pelajar yang padat sehingga waktu malam. Saya menganggarkan hanya 20% pelajar sahaja yang  bersukan,” tambah beliau .

“Memanglah bersukan tidak boleh dipaksa. Akan tetapi, adalah tidak seimbang sekiranya mereka hanya belajar tanpa bersukan. Pelajar hendaklah keluar bergerak atau melakukan sesuatu. Dengan ini, pelajar tidak merasa terlalu tertekan dengan aktiviti pembelajaran disamping dapat mengeluarkan peluh dari tubuh badan,” ujar beliau. 

Beliau memberikan beberapa cadangan untuk mengatasi masalah ini. Antaranya dengan mewujudkan mobile transport untuk kemudahan pelajar, mengadakan sukan antara blok dan antara kolej serta menjalankan kempen aktif bersukan dikalangan pelajar.

Mohd Shafie, pelajar Tahun 4, FSU, berkata “Sebahagian mahasiswa USIM suka menghabiskan masa dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah dan tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada kesihatan tubuh badan. Malah mereka lebih selesa menggunakan masa lapang dengan bermain game, melayari internet, ber’chating’, keluar membeli belah serta bersembang    kosong.”