Pilihanraya MSC mendapat sambutan

PANDAN INDAH – Bertempat di Dewan Kuliah Ibnu Sina, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Medical Student Club (MSC) telah mengadakan satu pilihanraya untuk pelantikan jawatankuasa baru MSC bagi sesi 2010/2011 pada 23 Februari yang lalu. MSC menjadi satu penggerak utama kepada pelajar perubatan USIM dalam melahirkan mahasiswa perubatan yang matang, berketerampilan dan komited sejajar dengan hasrat fakulti bagi melahirkan doktor muslim yang berintegriti.

Pelantikan ahli MSC ini turut dihadiri oleh Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar FPSK, Dr. Suhaila Bt. Sanip. Sesi pengundian bagi jawatankuasa baru MSC telah berjalan dengan lancar. Buat julung kalinya pemilihan kabinet baru MSC dilaksanakan secara pilihan raya. Menurut Asma Abdul Razak, pelajar FPSK, menyatakan hal ini dapat memberi peluang kepada warga FPSK untuk memilih calon pemimpin mereka sendiri.

“Ianya berbeza dari tahun-tahun sebelum ini di mana sebelum ini jawatankuasa MSC dianggotai oleh wakil dari setiap batch tanpa ada pengundian umum. Beliau juga menyatakan bahawa program-program yang dijalankan oleh MSC seperti, mengadakan pendedahan perubatan di sekolah-sekolah, khidmat bakti masyarakat, debat intra-fakulti dan karnival sukan banyak memberi suntikan semangat kepada mahasiswa perubatan untuk menjadi seorang pelajar perubatan yang berketerampilan,” katanya lagi.

Sesi pelantikan ini diteruskan selepas solat Maghrib berjemaah dengan sesi tazkirah bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul yang disampaikan oleh Mohd Sharifuddin bin Ismail, pelajar tahun tiga. Ahli Suruhanjaya Pilihanraya telah mengumumkan keputusan pilihanraya bagi penentuan ahli jawatankuasa kabinet baru MSC bagi sesi 2010/2011 selepas sesi tazkirah. Muhamad Baihaqi bin Oon telah diumumkan,  sebagai YDP MSC bagi sesi 2010/2011. Beliau berharap semua warga FPSK khususnya para pelajar dapat memberi sokongan dan kerjasama yang padu kepada kabinet baru MSC.

Sememangnya penglibatan mahasiswa di dalam program seperti ini dapat menjana pemikiran baru dan pelan tindakan yang lebih berkesan serta bersesuaian dengan peredaran zaman masa kini.

.