Rentetan sejarah 10 tahun penubuhan Universiti Sains Islam Malaysia

.

Picture
Gagasan penubuhan sebuah institusi pengajian tinggi Islam sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) adalah usaha kerajaan untuk menampung kekurangan intelek yang menguasai ilmu Islam. Pengumuman awal cadangan penubuhan ini telah  dibuat oleh Menteri Pendidikan ketika itu Yang Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak di Pasir Puteh, Kelantan, pada 14 Jun 1996. 

Pengumuman rasmi penubuhan Kolej Universiti Islam Malaysia telah dibuat oleh Yang Berhormat Datuk Seri Najib Tun Razak pada 14 Jun 1997, di Besut, Terengganu, setelah mendapat kelulusan Kabinet pada 11 Jun 1997.

Penubuhan KUIM juga memberi peluang kepada pelajar lepasan Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kementerian untuk mendalami ilmu agama tanpa perlu ke Asia Barat. Langkah ini akan mengurangkan beban kerajaan dalam menghantar pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kerajaan berhasrat untuk mempunyai pusat kecemerlangan untuk melahirkan ulama intelektual Islam.

"Jika negara Islam lain tidak mampu, Malaysia akan mengambil alih daripada mereka untuk mewujudkan pusat kecemerlangan Islam bagi memperlihatkan agama Islam bukanlah mundur atau kolot, sebaliknya progresif" kata Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Pada 13 Jun 1997 kabinet telah bersetuju dengan penubuhan KUIM yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantarnya dan diwartakan tahun berikutnya iaitu pada 12 Mac 1998. Antara tokoh yang mencetuskan idea dalam penubuhan KUIM adalah Menteri Pendidikan ketika itu iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan disokong oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Kemudian idea ini dilaksanakan oleh Prof. Dato' Dr.   Abdul Shukor Haji Husin, Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Prof. Madya Dr. Abdullah Mohamed Zin, pensyarah UKM dengan khidmat nasihat Exco Terengganu, Datuk Dr. Mohd Yusof Noor dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdul Hamid Othman. Pelaksanaan operasi ini turut dibantu oleh Tuan Haji Addenan Abd Rahman sebagai Pendaftar dan Puan Hajah Rohani Abu sebagai Bendahari.

Pada awalnya KUIM dijangka beroperasi pada Mei 1998 di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Petaling Jaya, Selangor, apabila UIA berpindah ke kampus tetapnya di Gombak. Disebabkan kemelesatan ekonomi pada tahun itu, operasi KUIM terpaksa ditangguhkan ke tahun berikutnya.
KUIM memulakan operasi awalnya di tingkat 5, Fakulti Pengajian Islam UKM dan pada bulan Januari tahun 2000.


KUIM kemudiannya berpindah ke IPB di Kampung Pandan, Kuala Lumpur untuk pengambilan pelajar pertama sesi 2000/2001 seramai 255 orang. Pada peringkat awal, KUIM menawarkan tiga bidang pengajian iaitu Pengajian Syariah dan Kehakiman, Pengajian al-Quran dan al-Sunnah dan Pengajian Dakwah dan Pengurusan Islam di tiga fakulti; Fakulti Syariah dan Kehakiman, Fakulti     Pengajian Quran dan Sunnah dan Fakulti Dakwah dan Pengurusan Islam.

Antara keunikan pengajian di KUIM adalah ia menawarkan pengajian bersepadu antara ilmu wahyu (naqli) dan akli serta bersifat amali dan ensiklopedik. Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris adalah bahasa pengantar utama. Pelajar KUIM juga tidak hanya mahir dalam pengajian Islam tetapi turut menguasai bidang teknologi maklumat dan bidang-bidang lain.

Naib Canselor USIM Y. Bhg. Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor Hj. Husin telah diberi kepercayaan membentuk kolej universiti yang baru pada tahun 1999 dan dibantu oleh Y. B. Prof. Dato' Dr. Abdullah Mohamad Zin (sekarang sebagai  ahli parlimen dari Terengganu), Tuan Haji Addenan Hj. Abdul Rahman sebagai Pendaftar KUIM dan Puan Hajjah Rohani Abu yang kemudiannya menjadi Bendahari universiti

Individu ke-lima, Encik Jasmin Jaimon, Ketua Pustakawan KUIM, juga telah menyertai kepimpinan awal universiti dalam merancakkan lagi perkembangan universiti dalam melengkapkan pasukan pengurusan tertinggi KUIM.

Kemudiannya USIM telah melantik beberapa ahli akademik terkenal termasuk Y. Bhg. Prof. Dato' Dr. Mohamed Asin Dollah, yang sekarang ini mejawat jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal-Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Y. Bhg. Prof. Dato' Dr. Muhamad Muda, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa ) pada ketika itu. Y. Bhg. Prof Dr. Mohammad Hj Alias pula yang  dipinjamkan dari UUM telah memegang jawatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) untuk tahun 2002-2007, Y. Bhg. Prof Dr. Abdul Samat Musa, sebagai Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Y. Bhg. Prof Datin Sri Dr. Mizan Adilliah  Ahmad Ibrahim sebagai Dekan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Y. Bhg. Prof Dato' Dr. Nik Mohd Nasri Bin Nik Ismail, sebagai Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Y. Bhg. Prof. Dato' Dr. Wan Mohamad Nasir Bin Wan Othman sebagai Dekan Fakluti Pergigian, bagi membantu menyediakan kurikulum untuk pelbagai program akademik dan hal-hal berkaitan polisi dan struktur universiti

Pada sesi akademik 2001-03, KUIM telah menempa sejarah apabila Perdana Menteri pada waktu itu Y.A.B. Tun Dr Mahathir Mohamad telah menghadiri upacara pecah tanah kampus baru universiti di Nilai, Negeri Sembilan pada 20 Ogos 2002.

Nilai terletak dalam lingkungan  Koridor Raya Multimedia dan kira-kira 20 minit perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan pusat pentadbiran negara, Putrajaya. Tambahan pula, Nilai mempunyai stesen komuter yang mengangkut penumpang ke Kuala Lumpur arah utara dan Seremban arah selatan tanah air. Kawasan dimana kampus baru akan didirikan berkeluasan 188 hektar dan akan dibangunkan dalam dua fasa. Fasa pertama akan dibina dalam Rancangan Malaysia ke-8 (RM8) dan fasa ke-dua akan dibina melalui Rancangan Malaysia ke-9 (RM9).

Dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan universiti, KUIM telah menubuhkan Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) pada tahun 2003.

Tahun akademik 2004-05 menyaksikan KUIM melancarkan beberapa program baru akademik. Antaranya termasuklah program pra     perubatan, dua program ijazah sarjana muda di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (dahulunya dikenali sebagai Fakulti Da'wah dan Pengurusan Islam), satu program ijazah sarjana muda baru di Fakulti Syariah dan Undang-undang (dahulunya dikenai sebagai Fakulti Syariah dan Kehakiman), penubuhan Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama dan Fakulti Pergigian. Sebagai tambahan, Fakulti Pengajian Qu'ran dan Sunnah juga menawarkan dua program baru peringkat sarjana muda. Sebelum penubuhan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) sebagai fakulti ke-enam yang diterajui oleh Dekannya Prof. Dr. Nik Nasri Nik Ismail, program pra-perubatan yang dikenali sebagai Tamhidi telah diperkenalkan.

Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP) yang diketuai oleh Dekannya Y. Bhg. Prof. Datin Seri Dr. Hajjah Mizan Adiliah Ahmad Ibrahim, memperkenalkan dua program sarjana muda baru pada sesi akademik 2004-05 iaitu Sarjana Muda Kaunseling (Dengan Kepujian) dan Sarjana Muda Komunikasi (Dengan Kepujian).

Fakulti Syariah dan Undang-undang telah mula menawarkan Sarjana Muda Syariah dan Undang-undang pada sesi akademik 2004-2005. Ke-lima yang didirikan ialah Fakulti Sains dan Teknologi (FST). Ia berbeza dengan fakulti lain di KUIM dan terletak di Zon Perindustrian Bandar Baru Bangi. Dekan fakulti tersebut ialah Prof. Dr. Jalani Sukaimi. Ia menerima kumpulan pertama pelajar pada sesi akademik 2004-05. Ia menawarkan beberapa program sarjana muda termasuklah Sarjana Muda Sains Bioteknologi Makanan (Dengan Kepujian), Sarjana Muda Sains Keselamatan Maklumat dan Asurans (Dengan Kepujian), Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko (Dengan Kepujian) dan Sarjana Muda Sains Kewangan Matematik. Fakulti ini menggunakan kemudahan dan makmal di UKM.

KUIM telah menubuhkan fakulti ke-tujuhnya pada tahun 2005. Fakulti tersebut ialah Fakulti Pengajian Bahasa Utama. Sebagai permulaan, fakulti ini telah melancarkan  program pertamanya Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi (Dengan Kepujian). Dekan pertamanya ialah Y. Bhg. Prof. Dato' Dr. Abdul Shukor Hj. Husin yang bertindak selaku Pemangku Dekan. Pada masa ini, Dekan fakulti tersebut ialah Prof.Madya Dr.Bhasah Abu Bakar.

Fakulti Pengajian Qur'an dan Sunnah dibawah pimpinan dekannya Dr. Adnan Mohamad Yusof memperkenalkan dua program Sarjana Muda yang baru; Sarjana Muda Pengajian Qur'an dengan Multimedia (Dengan Kepujian) dan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Sunnah Dengan Pengurusan Maklumat (Dengan Kepujian) sebagai mempelbagaikan kemahiran pelajar dan menawarkan program dwi-pengkhususan. Fakulti ke-lapan ialah Fakulti Pergigian yang mula mengambil pelajar pertamanya pada bulan Julai 2007. Y. Bhg. Prof. Dato Dr. Wan Mohamad Nasir Wan Othman telah dilantik menjadi Dekan fakulti tersebut.

Perpindahan kampus dari Kuala Lumpur ke Nilai bermula pada bulan Julai 2005 apabila pelajar Tahun Tiga memulakan sesi akademik 2005-2006 di kampus Nilai

Jabatan Canselori, Jabatan Pendaftar dan Jabatan Bendahari terletak di bangunan sementara sehingga bulan Mac 2007 dimana mereka telah berpindah ke bangunan baru pentadbiran yang dibina mengikut senibina Islam dengan kubah berbentuk bawang. Terletak di atas bukit, ia boleh dilihat melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Pada bulan Ogos 2005,   Bahagian Akademik mula berpindah ke kampus baru.

Kampus baru di Nilai dijangka akan mengembangkan lagi masa depan pelajar dan kakitangannya apabila ia ditukar nama kepada universiti pada bulan Februari 2007. KUIM kini dikenali sebagai Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). USIM kini dilihat sebagai pusat perkembangan akademik dan kemanusiaan berteraskan Islam yang disegani.

Tahun 2009 merupakan tahun ke 10 penubuhan usim. Lebih 38 program dan aktiviti dirancang dan dilaksanakan bersempena Program Sambutan. “Sehingga kini USIM berkembang pesat dengan mempunyai bilangan pelajar semasa melebihi 5500 orang. USIM mensasarkan peningkatan   enrolmen pelajar ke angka 16,000 pelajar sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan tenaga kerja berpendidikan tinggi untuk jangkamasa 10 tahun akan datang,”kata Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin Naib Canselor pertama USIM.

Sebagai universiti yang baru, USIM amat istimewa dari beberapa segi. Pertama, pelajarnya terdiri daripada pelajar lepasan sekolah agama yang datang dari luar bandar. Mereka ini biasanya belajar di pelbagai fakulti pengajian Islam, institusi pengajian

Islam yang lain atau bekerja sebagai guru agama. Dengan penubuhan USIM, ia menjadi pusat perkemba- ngan ilmu dan meningkatkan kebolehan dan menanam sikap yakin diri pada graduan. Ia juga dapat menyediakan mereka untuk alam pekerjaan supaya dapat bersaing dengan graduan dari universiti lain.

Melalui pelbagai kursus yang ditawarkan di USIM, sama ada program teras fakulti, program khas atau kursus elektif am lain, pelajar memperolehi pendidikan menyeluruh yang boleh disamakandengan universiti yang telah lama bertapak.

Tambahan pula USIM menekankan penggunaan Bahasa Arab dan      Bahasa Inggeris supaya bila bergraduat nanti mereka boleh menggunakan kedua-dua bahasa di   samping Bahasa Melayu.

Sebagai universiti awam, USIM   boleh dikira sebagai satu-satunya universiti Islam penuh milik kerajaan di Malaysia. Seterusnya, sistem pengurusan dan akademiknya adalah selaras dengan peraturan Kementerian Pengajian Tinggi.

Penubuhan USIM membolehkan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai pusat pendidikan tercapai. Tambahan pula, ranca- ngan jangka panjang universiti, dari segi kemudahan, perkhidmatan dan program akademik, adalah sejajar dengan rangcangan 5 tahun negara. Ia juga selari dengan hasrat negara untuk menjadi negara maju dan pesat membangun menjelang tahun 2020.