keakraban semalam

Picture
  Coretan Kenangan...

 

Sedar tak sedar keputusan SPM dah nak keluar. Nak masuk lapan belas tahun dah umur aku. Ibaratnya bagai semalam aku masih bergelak ketawa dengan tiga jantung hati yang sangat akrab denganku. Masa duduk melangut macam ni, terbit pula suatu perasaan. Rindu pada kenangan lama. Kenangan terhadap Marisa,Daniel, dan Haris. Macam-macam ragam kerenah mereka. Aku tak mungkin dapat lupakan mereka semua. Kami tetap kawan sampai mati. Betapa berertinya mereka buat diri ini.

 Tak keterlaluan rasanya kalau aku katakan hanya mereka yang memahami aku. Persahabatan yang mereka garap ke dalam diri aku sangat memberi makna. Hinggakan aku akan kesunyian tanpa mereka. Haris akan sentiasa ku ingat dengan mata bulatnya yang macam anak patung. Comel kawan aku ni. Marisa si nakal yang suka sangat membebel. Daniel? Lanun terhebat dalam kumpulan kami. Telatahnya yang gila-gila itu buat kami tak kering gusi. Daniel pandai melawak. Walaupun menjadi pujaan dara di sekolah, dia sentiasa merendah diri.

Sekarang...

 Aku masih termangu. Menunggu kelibat Marisa untuk pulang ke kampung bersama-sama. Sungguh duka berita yang ku terima saat fajar mula men- yinsing. Hampir terhenti degupan jantung ini. “Aiza, kau okey ke?” soalan daripada Marisa tak mampu untuk aku jawab. Serba salah tatkala melihat raut wajahnya yang pucat itu. “Tak,” hanya sepatah bicara daya untuk aku ucapkan. Ya! Hanya sepatah. Selebihnya hanya air mata yang menjadi jawapan.

 “Kita ikut Haris dekat Sungai Besi, dia dah tunggu kat sana,” aku hanya mengangguk. Hanya Allah yang amat tahu rasa hatiku saat ini. Sepanjang perjalanan aku berusaha untuk mengawal emosi. Marisa juga pasti sedang bersedih. Haris pun. “Za, biar aku drive. Kau perlu berehat ni,” aku hanya menurut dan memberikan isyarat lampu kepada pengguna jalan raya yang lain. Aku alpa, ikut kata hati sedangkan memandu di jalan raya bukanlah seperti berjalan di tengah bendang. Aku minta maaf Marisa. Tak dapat nak bercakap banyak dengan kau. Hati aku hancur luluh. Satu persatu kenangan bersamanya berlayar di ruang mata. Aku dan Daniel sering menghabiskan masa bersama. Mengail ikan di dalam petak sawah. Bila aku melenting, dia ketawa terkekeh-kekeh. Desiran kenangan terindah yang tak mungkin terulang lagi.

Air mataku menitis. Aku lemah tak bermaya mengenangkan Daniel. Terlalu cepat kau pergi sahabatku. Baru sebentar kita menjengah alam kerjaya. Apatah lagi dirimu, hanya sempat mencurahkan seketika bakti buat anak bangsa.“Aku nak isi jiwa anak-anak kita dengan ilmu, Za. Aku nak belajar tinggi, kemudian curahkan segala pengetahuan kepada anak kampung. Biar mereka juga jadi anak terulung yang menggenggam wacana.

 Ku lihat wajahnya bersungguh. Daniel Syah, anak muda yang aku kenali ini berjiwa besar. Dia memiliki impian sedalam lautan untuk menjadi se- orang guru. Menebar jasa untuk mendidik anak-anak yang sering menyentuh hatinya. Berbakti di sebuah perkampungan yang daif, serba kekura- ngan. Namun itu semua tidak pernah menjadi halangan. Sungguh bicaranya serius. Bukan main-main.Cikgu Daniel, itulah nama yang meniti di bibir penduduk kampung. Bangga mereka dengan jejaka berhati mulia ini. Sebagai sahabatnya aku tumpang gembira. Di kampung menyelusuri epilog kenangan.

 “Ya Allah,” hanya kata itu yang dapat aku lafazkan tatkala menatap sekujur tubuh arwah Daniel. Wajahnya sungguh bersih bagaikan sedang lena diulit mimpi. Meski pucat, namun dia seakan damai dalam pembaringan. Sahabatku telah pergi buat selamanya. Aku harus redha. “Daniel dah takde,” bisik Marisa sayu. Air mata menitis laju di pipi kami. Haris memalingkan wajahnya. Dia mengesat air mata dari terus jatuh ke pipi. Setelah dapat menenangkan diri, dia menghampiri jenazah lalu mengucup dahi arwah Daniel buat kali terakhir. Ucapan selamat tinggal seorang lelaki buat sahabat karibnya. Aku dan Marisa berpelukan. Tak sanggup melihat wajah sugul Haris. Aku mententeramkan ibu dan bapa Daniel. Tentu kehilangan mengejut ini sukar untuk mereka tempuh. Tambahan pula, Daniel merupakan anak sulung harapan keluarga. Dia menjadi idola adik-adiknya kerana memiliki jiwa murni.

“Daniel dah meninggal. Subuh tadi baru anggota penyelamat menjumpai mayatnya. Air terlalu deras,” aku terkedu tatkala menerima perkhabaran itu daripada ibu. Hampir terlepas telefon daripada pegangan. Masa itu dunia dirasakan terbalik. Baru kelmarin kami berbual, banyak cerita yang dikongsikandikongsikan. Malah pemergiannya juga adalah kerana rasa tanggungjawab sebagai seorang pendidik. Daniel hanyut setelah berusaha untuk menyelamatkan anak muridnya yang dibawa arus deras. Mereka berdua terkorban. Sudah janji sahabatku pergi dengan cara begitu.


“Hajat dia untuk jadi cikgu termakbul juga. Daniel budak yang nakal. Suka ponteng kelas tapi bijak. Dia selalu protect kita. Dia yang paling garang dan lucu,” bicara Haris kedengaran tersekat-sekat. Sahabatku ini tak kurang bijaknya, dia menggapai cita-cita untuk terbang di awan biru. Memastikan penumpang selamat tiba ke detinasi yang dituju. Tasha menjadi arkitek, manakala aku memilih kerjaya sebagai pereka hiasan dalaman.

Aku melontar pandangan pada sungai yang menjadi saksi kenakalan kami. Saat dua orang anak tarzan itu bergayut pada pokok, aku dan Marisa ligat menyimbah air. Sudahnya mereka akan menyerah kalah setelah menggigil kesejukan. Kami tertawa.“Kita dah hilang seorang. Tempat yang kosong tak mungkin terisi semula,” luahku kelu.“Biarkan sahaja kekosongan itu, sebab kita takkan sama lagi tanpa kehadirannya,” sambung Marisa.“Dan Daniel Syah, kau sahabat kami yang tiada galang-ganti buat selamanya,” Haris bersuara.

Kembara kami di kampung masih belum sempurna. Demi mengubat kerinduan pada secebis kenangan yang amat mahal, diatur langkah untuk mengintai tirai memori sewaktu menimba ilmu di sekolah lama. Mujurlah hari ini merupakan hari Sabtu. Dapatlah kami masuk ke dalam bilik darjah yang menyimpan seribu satu memori buat kami berempat. Kami menapak ke blok yang menempatkan kelas tingkatan tiga.

Masih segar di ingatan, pada masa ini kesewelan kami tiba ke kemuncak. Nasib baik keputusan PMR tak terbabas. Kami duduk di tempat masing-masing. Aku dan Marisa duduk bersebelahan. Haris lebih gemar duduk di meja hadapan. Tapi dia yang sering tertidur dalam kelas. Sehingga cikgu membaling kapur, barulah dia akan tersedar. Ku renung tempat duduk belakang sekali yang kosong. Seakan dia hadir bersama kami. Bergelak ke- tawa seperti dulu.Ku biarkan mereka bergurau sesama sendiri. Aku bangun dan menuju ke tingkap. Di situ bagai ternampak-nampak kelibat Daniel sedang membaling roket kertas. Memang itu hobinya! Dan aku pula akan jadi sasaran. Ku koyak sehelai kertas daripada buku conteng dan menggumpal kertas itu sehingga membentuk sebiji bola. Nah! Dia akan cuba mengelak. Tapi kemahiran ku membaling agak hebat.Tanpa sedar air mata membasahi pipi. Ku pujuk hati agar tidak menangis lagi. Daniel telah pergi buat selamanya namun dia tetap hidup dalam sanubariku.“Jom kita balik,” ajakku. Mereka akur. Kami jalan beriringan meninggalkan kelas. Berat rasa hati untuk melangkah keluar dari perkarangan sekolah. Terlalu sarat kenangan yang kami ciptakan bersama di sini. Kami mencintaimu… Ucapku sebelum berlalu

 

 


Pedoman Hidup



Mari dimakan kuih keria,
Makan bersama anak Pak Ali,
Buat baik berpada-pada,
Buat jahat jangan sekali.


 

Cik Embung naik kereta,
Cari kawasan menggali perigi,
Jangan sombong tuan berkata,
Di benci orang kemana pergi.


 

Duduk dirumah berkain pelikat,
Dibeli dari anak banggali,
Hidup di dunia biar beradat,
Bahasa tidak dijual beli.


 

Perahu layar mudik ke hulu,
Jadi kenderaan si anak sultan,
Kepalang duduk menuntut ilmu,
Pasir sebutir jadikan intan.


 

Cik Milah suka bersenda,
Jadi tontonan cucu Zabidi, 
                       Walaupun banyak ilmu di dada,                      

Biar merunduk resmi padi

 

Langkah Kehidupan

Picture
Pagi yang indah 

kulihat kembali

Meninggalkan mimpi

menggantikan hari

Di ufuk timur tersirat

cahaya kedamaian

Membangkitkan semangat menghangatkan perasaan

Gemersik dedaunan

persis irama kehidupan

Selalu setia menyanyikan lagu   kemenangan

Dalam mencari makna

cita dan cinta

Dalam mewujudkan makna hidup yang sesungguhnya

Biarkan hari terus berlalu

Kerana setiap saat

bermakna padaku...