Melakar jejak - Biografi Mohd. Yusof  Noor

Picture
GEMBIRA… Rais Yatim menunjukkan buku Melakar Jejak-Biografi Mohd. Yusof Noor sambil diperhatikan Yusof Noor dan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Dr. Muhamad Muda.


KUALA LUMPUR – Menteri bahagian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim telah merasmikan majlis pelancaran buku yang diterbitkan oleh  Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Dewan Perdana Felda.


Buku yang bertajuk ‘Melakar Jejak-Biografi Mohd. Yusof Noor’ memaparkan pembabitan Mohd. Yusof dalam dunia politik, akademik, perkhidmatan kerajaan dan dunia korporat. Dalam masa yang sama, beliau merupakan pengerusi lembaga pengarah USIM.

Dalam pada itu, Rais dalam ucapannya berkata, Mohd. Yusof adalah seorang tokoh yang hebat, berjiwa besar dan seorang yang tajam pemikirannya.

Beliau juga mengakui bahawa Mohd Yusof mempunyai pengalaman yang begitu banyak dalam pelbagai bidang yang diceburi. "Maka penerbitan biografi ini dapat menonjolkan seorang tokoh yang telah berjaya membawa lembaran baru dalam pelbagai aspek," katanya.
 
Prof. Dato’ Dr. Muhamad Muda melontarkan  pendapat  bahawa Tan Sri Mohd Yusof Noor adalah seorang yang layak diperkenalkan dan  diangkat sebagai ikon kepada masyarakat. “Beliau telah memberikan banyak sumbangan untuk kemajuan masyarakat dan negara secara keseluruhannya,” ujarnya dalam ucapan aluannya.

Mohd. Yusof yang kini juga merupakan Pengerusi Felda berhasrat, biografi pengalaman hidup dan pencapaian dirinya dapat menjadi bahan rujukan generasi muda pada masa akan datang serta mengucapkan terima kasih di atas usaha menerbitkan biografi ini.

Beliau yang menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah 2009 itu mula menyertai dunia korporat ketika dilantik sebagai Pengerusi Felda bermula 2001. Pada masa ini, tidak ramai yang tahu pencapaian Mohd. Yusof justeru melalui biografi ini akan mencungkil segala pengalaman dan maklumat mengenai tokoh terunggul ini.

Majlis ini juga bersempena untuk meraikan ulang tahun kelahiran beliau yang ke-69 disamping dapat menambahkan lagi semangat beliau untuk terus berjaya di masa akan datang.