Pakaian menjolok mata tunjuk imej negatif

Picture
Etika Pakaian Menunjukan Sahsiah Peribadi
Ibarat mencurah air ke daun keladi. Itulah pepatah yang sesuai kepada sesetengah mahasiswi USIM yang masih berpakaian tidak mengikut etika pemakaian yang ditetapkan. Pun begitu, etika pemakaian ini telah pun disarankan kepada mahasiswi melalui poster, pamplet dan papan iklan. Antara pemakaian yang ditetapkan antaranya memakai baju yang menutup aurat, tidak jarang serta longgar dan tidak menjolok mata. Walaubagaimanapun, mereka mempunyai pandangan dan alasan tersendiri tentang cara pemakaian mereka semasa berada di kampus.

Menurut salah seorang mahasiswa yang ditemuramah, beliau merasakan cara pemakaian pelajar tidak perlu dijadikan isu kerana pada pendapatnya pemakaian sebegini mengikut peredaran semasa. Beliau juga mengatakan jujur pada diri sendiri adalah prinsip hidupnya.

“Saya jenis yang suka berfesyen mengikut peredaran zaman. Selagi saya menjadi diri saya, tidak perlulah saya nak hipokrit,” katanya. Mengulas mengenai pemakaian ini, beliau mengatakan pemakaian seseorang itu bukanlah garis ukuran kebaikannya. 

Don’t judge a book by its cover. Orang yang bertudung labuh itu tidak semuanya baik dan orang yang tidak bertudung labuh itu tidak semestinya jahat,” ujarnya.

Meskipun begitu, isu pemakaian ini sangat sensitif dan dipandang serius kerana kebanyakan pelajar-pelajar USIM terutamanya mahasiswa tidak suka melihat gaya pemakaian mahasiswi yang menjolok mata. Menurut salah seorang pelajar Fakulti Syariah dan Undang-undang, Abdul Rashid bin Ahmad mengulas mengenai cara pemakaian mahasiswi yang tidak mengikut etika pemakaian yang ditetapkan.

“Mereka lebih suka memakai pakaian yang ringkas tetapi ada kalanya pakaian itu tidak menepati kehendak syariah. Sebagai contoh, pelajar perempuan memakai pakaian tudung yang agak jarang tanpa memakai skaf,” katanya. Beliau juga menyarankan supaya pihak universiti menjalankan peraturan etika pemakaian pelajar dengan lebih tegas. 

Masalah ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan mahasiswi malah kepada sesetengah mahasiswa juga. Sebagai contoh pemakaian seluar jeans dan tidak berpakaian kemas ketika berada dalam kawasan kampus. Persoalannya, kenapa mahasiswa USIM masih berdegil tidak mengikut peraturan sedangkan pihak universiti telah mengambil pelbagai inisiatif dalam melahirkan mahasiswa yang berintegriti dan bersahsiah tinggi?