Persidangan menjana minda ke arah kecemerlangan

KUALA LUMPUR – Sekali lagi pelajar pergigian USIM tidak melepaskan peluang memacu minda profesional mereka melalui Persidangan Saintifik Pelajar Pergigian Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 pada 28 Januari lalu bertempat di Universiti Malaya Kuala Lumpur.

Persidangan yang bertemakan “Enhancing Excellent in Dental Research” ini, telah dirasmikan oleh, Prof. Dato’ Dr. Ghouth Jasmon, Naib Canselor Universiti Malaya. Fakulti Pergigian USIM telah menghantar seramai 15 orang peserta ke persidangan tersebut.

Objektif sebenar persidangan ini bertepatan dengan tema iaitu untuk meningkatkan kecemerlangan serta memberi pendedahan kepada pelajar dalam membuat kajian saitifik tentang pergigian.

Pelajar-pelajar pergigian dari seluruh IPTA di Malaysia  seperti  UM, USM, UKM, UiTM turut mengambil peluang keemasan ini untuk  menyertai persidangan saintifik ini. Dekan Fakulti Pergigian USIM, Prof. Dato’ Dr. Wan Mohd Nasir B. Wan Othman juga turut bersama-sama menghadiri persidangan.

Menurut Abdul Ghafur Ruslan, mantan MPP sesi  2008/2009 dari Fakulti Pergigian menyatakan pelbagai faedah yang dapat diperolehi melalui persidangan ini.

“Saya rasa sangat gembira dapat menyertai conference ini kerana dapat menambah pengetahuan berkaitan dengan dental research yang telah dibentangkan oleh pelajar-pelajar pergigian semasa persidangan,” katanya ketika ditemu bual oleh wartawan USIM Today.

“Pengalaman ini juga sebenarnya dapat membantu kami di masa hadapan dalam membuat research. Di samping itu, saya dapat bertukar-tukar pendapat dengan peserta-peserta lain serta saya juga dapat menimba banyak pengalaman melalui persidangan yang dianjurkan ini,” tambahnya lagi.

Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan sepanjang persidangan ialah pembentangan tentang hasil kajian-kajian saintifik, pertandingan penyelidikan saintifik, dan pembentangan poster.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berjaya merangkul juara keseluruhan pertandingan penyelidikan saintifik serta pembentangan poster.

Menurut Mohammad Hadi Hanafiah, 22, FPG, beliau berharap agar Fakulti Pergigian USIM dapat menganjurkan aktiviti-aktiviti yang sama di masa akan datang. Walaupun Fakulti Pergigian USIM masih baru, ia tidak menjadi penghalang kepada warganya untuk bergiat lebih aktif dalam membuat penyelidikan tentang bidang profesion mereka. Persidangan seperti ini dapat memberikan buah fikiran baru serta gerak kerja yang lebih efektif.