Relevenkah dakwah Islam di pub?

Picture
Dr Asri Dakwahnya Penuh Kontroversi
Kes penahanan bekas mufti perlis yang dikatakan sebagai pendakwah yang tidak bertauliah kerana mengamalkan konsep wahabi dalam penyampaian dakwah tidak berhenti setakat itu sahaja. Malah, baru-baru ini, beliau telah mencadangkan satu idea yang agak kontroversi dikalangan masyarakat Islam iaitu ‘dakwah di pub’.

Dr. Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr. Maza di dalam blognya, dr,maza.com memilih jalan dakwah ini setelah melihat masalah sosial dikalangan remaja semakin membimbangkan dewasa ini.
Kawasan pub dan kelab malam yang menjadi tumpuan umum untuk melakukan aktiviti sosial ini menarik perhatiannya untuk mengembangkan dakwahnya di kawasan ‘najis’ itu. Namun, sejauh manakah penerimaan masyarakat terhadap cadangannya itu?

Pub atau kelab malam ini bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat Melayu Islam, malah, kawasan seperti ini juga menjadi kawasan santai dan rehat bagi bangsa lain dan pelancong-pelancong dari luar. Bukanlah mudah untuk menjalankan dakwah bertepatan dengan konsep dakwah yang digariskan oleh Islam dalam tempat sebegini. Menurut beliau, pada waktu inilah artis-artis tanah air perlu memainkan peranan penting dalam menyampaikan nilai-nilai murni terhadap masyarakat khususnya golongan remaja.

Artis merupakan golongan yang berpengaruh dikalangan masyarakat. Maka, beliau menyarankan kepada artis-artis tanah air untuk menonjolkan kepada masyarakat sesuatu yang boleh membawa kemaslahatan kepada umat Islam khususnya.

Walaupun begitu, cadangan dakwah ke pub ini ditolak oleh pelakon dan pengarah filem tersohor Malaysia, Ahmad Idham. Beliau berpendapat, dakwah sebegini akan menakutkan pengunjung pub dan kelab malam terhadap agama Islam itu sendiri.

Menurut beliau lagi, dakwah ini tidak sesuai dijalankan di pub berikutan bukan sahaja masyarakat Melayu berada di situ, malah, artis-artis tempatan dan pelancong luar negara turut  menggunakan kawasan itu sebagai pusat aktiviti sosial mereka.

Lain pula pandangan Dr. Sri Mohd Tamyes Abdul Wahid berkenaan dakwah di pub ini.Beliau berpendapat, aktiviti dakwah sebegitu akan memberi imej yang buruk terhadap pendakwah kerana tidak menggunakan teknik dakwah secara berhemah. Pendakwah tidak semestinya perlu turun padang untuk melakukan aktiviti dakwah.

Malah, pendekatan yang lebih cermat seperti membawa pengunjung kelab malam ke kawasan lapang  untuk mengadakan ceramah dan kesedaran merupakan jalan terbaik dalam usaha dakwah ini. Ini bermakna, pendakwah tidak perlu terjebak sama ke dalam kelab malam tersebut kerana dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada pendakwah tersebut .Perspektif dakwah ini telah dipandang secara meluas dari sudut yang berbeza. Bukan semua pendakwah akan menggunakan pendekatan dakwah yang sama. Terdapat banyak perkara yang perlu dilihat dan dititikberatkan.

Oleh yang demikian, wartawan USIM Today telah melakukan tinjauan di sebuah kelab malam di Dang Wangi, Kuala Lumpur bersama aktivis dakwah yang telah lama melakukan aktiviti ini sejak penglibatan mereka dalam bidang muzik untuk melihat sendiri medium dakwah yang digunakan. 

Sekali pandang, kumpulan hip hop ini kelihatan sealiran dengan kumpulan VE, Ahli Fiqir, atau Ruffedge.Namun, disebalik perwatakan dan penampilan mereka, penuh dengan matlamat dan misi seorang da’ie.

Edry Faizal Eddy Yusof atau lebih dikenali sebagai Al-Faisal dalam  blognya 5forty2music.com merupakan seorang penyanyi rap dan hip hop
dan juga  salah seorang antara Ahli Jawatankuasa Islamic Information & Service (IIS).Kumpulan ini yang telah lama ditubuhkan sejak 6 tahun yang lalu sudah banyak menceburkan diri dalam bidang dakwah melalui medium muzik.

Beliau berpendapat bahawa,  tidak kira di kelab malam, gig muzik atau di celah-celah lorong, sekiranya peluang dakwah itu muncul maka seorang Muslim harus merebutnya. Kita perlu melihat dakwah dalam bentuknya yang luas, tidak bererti apabila berdakwah itu ianya tidak boleh tidak mesti berceramah atau menyebarkan risalah semata. 

“Kadangkala agak lucu apabila memikirkan kami masih diundang walaupun lirik kami boleh dikatakan agak pedas kerana mengkritik secara langsung budaya hidup yang liar. 


Melalui persembahan lazimnya kami berpeluang mendapat rakan-rakan baru yang boleh menyerap ke dalam 'circle of  influence' di kalangan rakan-rakan dan pendengar kerana merekalah yang berpotensi besar untuk menelaah lebih lanjut mesej yang cuba kami sampaikan.” Jelas Edry.

Melihat kepada perspektif dakwah sekarang, pelbagai medium boleh digunapakai dalam mewujudkan keharmonian perhubungan antara daie dan mad’u. Dakwah tidak dilihat dari sudut penyampaian sahaja.

Namun, pendakwah harus  menitikberatkan aspek pemilihan tempat dan sasaran dakwah untuk memastikan kesinambungan dalam mencapai objektif sebenar dakwah.

Dalam konteks ini, beliau berpendapat, “Untuk berdakwah di tempat seperti kelab malam dan sewaktu dengannya memerlukan strategi dan peluang. Tidak semudah merempuh dan kemudian berdakwah. Usaha kita perlulah bagai menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus tepung tidak berterabur.” Kata Edry lagi.

Kita tidak mengatakan bahawa pendapat ulama' ini betul atau salah kerana masing-masing mempunyai kaedah dakwah yang tertentu. Namun. para ulama' perlulah saling berkerjasama dan tidak menyalahi antara satu sama lain dalam usaha membanteras masalah sosial dikalangan remaja islam.