Sepak Takraw USIM ke grand final

Picture
USAHA TANGGA KEJAYAAN… pasukan takraw USIM giat berlatih bagi menghadapi pertandingan Sepak Takraw Grand Final Championship .
 

NILAI – Pasukan Sepak Takraw USIM telah berjaya membuang badi kekalahan sebelum ini selepas berjaya layak ke peringkat Grand Final Championship di UITM Shah Alam hujung Mac ini.

Baru-baru ini, USIM telah menghantar tiga pasukan regu dan satu pasukan beregu ke Kejohanan Sepak Takraw Sirkit 1 MASUM yang telah berlangsung di UTM Skudai pada 4 hingga 7 Februari.

Pada kejohanan tersebut, pasukan USIM telah mempamerkan permainan yang agak baik dan memberikan saingan yang sengit kepada pasukan pilihan seperti UM dan UiTM.

Dua pasukan regu USIM telah layak secara automatik apabila masing-masing berada pada kedudukan 15 dan 16 pasukan terbaik daripada 64 pasukan.

Pasukan bergu USIM pula layak mudah ke peringkat grand final kerana telah berjaya menduduki senarai lapan pasukan terbaik apabila layak ke peringkat suku akhir.

Pembantu Belia dan Sukan dan juga selaku Pengurus Sepak Takraw USIM, Muhammad Syairazi Ali  berkata,“Saya amat berpuas hati dengan persembahan skuad takraw USIM pada kejohanan ini kerana telah berjaya layak ke peringkat grand final dan tersenarai dalam 16 pasukan terbaik bagi kategori regu dan kedudukan lapan pasukan terbaik bagi kategori beregu. Ini adalah satu peningkatan yang patut dipuji  kerana pada kejohanan MASUM sebelum ini kita tewas dalam peringkat kumpulan lagi”.

Katanya lagi, “Pasukan takraw sekarang giat berlatih pada waktu petang dan malam sebagai persediaan bagi menghadapi pertandingan peringkat grand final nanti. Kami juga telah mengadakan perlawanan persahabatan bersama beberapa pasukan bagi memantapkan lagi fizikal dan mental pemain”.

Menurut seorang pemain sepak takraw USIM, Ediazrul, 22, “Pasukan Sepak Takraw USIM pada kejohanan MASUM tahun lalu telah tewas awal. Lantaran itu, kami cuba membuat peningkatan dari segi mutu permainan sehingga berjaya ke peringkat grand final sekaligus membuang tanggapan ramai bahawa USIM adalah pasukan belasahan”.

Katanya lagi, “Komitmen dan semangat pasukan adalah penting kepada sesebuah kumpulan dalam sesuatu pertandingan. Kami juga bertekad akan bermain bersungguh-sungguh sehingga mencipata sejarah pada kejohanan grand final demi mengharumkan nama USIM”.