USIM sertai Kejohanan Bola Tampar Terbuka TLDM

Picture
SEMANGAT UNTUK BERGELAR JUARA… setiap pasukan merancang pelbagai strategi untuk menumpaskan pihak lawan masing-masing.
LUMUT – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menyertai Kejohanan Bola Tampar Terbuka TLDM  yang berlangsung  pada 19 hingga 21 Februari yang lalu di Kompleks Sukan TLDM Lumut dengan menghantar pasukan lelaki dan wanita, dua pasukan staf serta dua pasukan pelajar.

 Perlawanan ini dianjurkan sendiri oleh Persatuan Bola Tampar TLDM.

 Menurut Pengerusi Persatuan Bola Tampar TLDM, KDR Suhaimi bin Sulaiman, 43, objektif utama kejohanan ini diadakan adalah untuk memperkenalkan kepada masyarakat luar bahawa Pangkalan TLDM Lumut merupakan sebuah pelabuhan maritim disamping dapat mengeratkan silaturrahim antara agensi.

 “Kami mendapat penyertaan yang amat menggalakkan dari pelbagai agensi kerajaan, universiti dan persatuan. Jumlah pasukan yang menyertai kejohanan ini adalah sebanyak 21 pasukan lelaki dan 16 pasukan wanita,” jelas beliau lagi.

 APP. TMED. TLDM, Muzammil bin Mehat, 24, juga berpendapat bahawa perlawanan seperti ini boleh mengeratkan hubungan silaturrahim. Beliau turut gembira kerana kejohanan ini mendapat sambutan yang hangat.

Seorang pemain bola tampar USIM, Syarifah Syaima Nabihah binti Syed Abd. Rahman, 23, berkata “Kejohanan ini merupakan satu pendedahan yang baik kerana dapat memberi peluang kepada pasukan baru untuk naik ke peringkat yang lebih tinggi”.

 “Pasukan yang terlibat bagus-bagus belaka, dan perlawanan juga sangat sengit.”

Katanya lagi, “Kejohanan ini memberi satu pengalaman kepada pemain-pemain USIM disamping memberi latihan bagi menghadapi perlawanan-perlawanan yang akan datang terutamanya MASUM”.

Kejohanan Bola Tampar Terbuka TLDM ini telah dimenangi oleh pasukan Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bagi kategori lelaki, manakala kategori wanita pula telah dirangkul oleh pasukan UiTM.